Pengertian

Jemarinya halus
menari tulus
mengikut arus
ritma dan nada
kehidupan

Senantiasa mencari erti
dalam pencarian 
dan makna
dalam pengertian

ashraf ishak
1:04 Pagi
25HB Oktober 19’
Subang Jaya

Nama

Putaran dunia tidak cukup
sejauh mata melihat
keagungan-Nya

Senafas udara ditarik
semakin hampir kita
hilang dalam ketandusan
alam yang maya

Dan aku manusia
yang bakal mati
hanya meninggalkan nama

ashraf ishak
2:52 Petang
21HB Oktober 19’
Shah Alam

Hiba

Pabila waktu terhenti
dan panggilan ajal tlah tiba
akankah kau mendongak ke langit
dengan penuh rasa hiba?

ashraf ishak
5:27 Pagi
19HB Oktober 19’
Subang Jaya

Aku dan kepekatan malam

Di antara aku
dan kepekatan malam
ada perasaan kelam 
yang kian mendalam

Hitamnya kehidupan
menyulam
menghentikan detik-detik 
kehidupan 
yang lama tersimpan

Dan aku 
masih mencari
harapan yang kian hilang
dalam terangnya
kepekatan malam

ashraf ishak
1:30 Pagi
14HB Oktober 19’
Istanbul, Turki

Sepetang di perantauan

Meracau ombak
mententeramkan hati
seperti sepi lautan
tanpa bunyi

Semestinya
aku lebih tenang
dalam dakapan angin
yang jauh membawaku pergi

Di antara aku dan Dia
seperti tidak lagi
punya rahsia
dalam kelam aku terdiam
mencari diri

Selagi hidup
masih berpaksikan
ketentuan
yang tidak lagi pasti
tetap sahaja aku mati
dengan hati yang kelam
dan tetap terdiam
mencari diri

ashraf ishak
4:41 Petang
7HB Oktober 19’
Istanbul, Turki



Sun child (ii) (2019)
digital art

 


Sun child (2019)
digital art