Alunan

 
Ke mana perginya
alunan mesra
yang mendamaikan jiwa
dan melemaskan sukma
terkunci hati
dari jiwa-jiwa yang gila
lalu terbit semula
segala kebencian yang ada
tenteram merekah kabus
racun yang meresap halus
terkambus bersama erti mimpi
dibunuh fana dan fajar 
yang datang lalu mati

ashraf ishak
5:54 Petang
10HB Oktober 26’
Kuala Terengganu

Konflik Dan Resolusi

 
Aku belum lagi
mati ditelan arus jiwa
dikongkong manusia
dipenjara hatinya
walaupun dibelengu 
kehidupan yang tiada erti
namun tetap mencari
ke mana perginya
kita selepas kita pergi
titik tengah di antara
konflik dan resolusi

ashraf ishak
1:38 Pagi
8HB Oktober 26’
kuala Terengganu

Rekah


Merenung jiwa
yang terluka
seolah ada jawapanya
di balik mata yang ternoda
bisikan suara seisi dunia
tidak kedengaran 
hanya gelap gelita
menyelubungi hati samudera
terasing dari mereka
merekah di dalam kekecewaan
hati yang terluka

ashraf ishak
11:17 Malam
7HB Oktober 26’
Kuala Terengganu

Pulih


Tanpa henti

ku meneruskan hari-hariku ini

dengan sakit yang kau beri

menjadi beban

akan wujudnya diri

sehingga tidak dipeduli

diabaikan akan dirimu

yang ditinggalkan insan

kau sayangi

aku undur diri

semoga suatu hari nanti

kau cepat pulih


ashraf ishak

7:55 Malam

7HB Oktober 26’

Kuala Terengganu

Pendusta


Seperti rasa

langit masih tidak bersuara

melepaskan atma

rindu yang tergendala

dalam rimas aku cakna

mengadu lafaz 

seorang manusia berdosa

ditinggalkan sepi

lalu diolah semula hati 

menjadikan aku seorang

pendusta


ashraf ishak

7:35 Malam 

6HB Oktober 26’

Kuala Terengganu